Dua Pasangan Remaja Dicekup Berkhalwat


Seorang lelaki yang kononnya singgah sebentar di sebuah bilik hotel bagi membincangkan permasalahan dengan seorang wanita dicekup di sebuah hotel bajet di daerah ini, malam Sabtu lalu.



Ketua Penguatkuasa Agama Daerah Sabak Bernam, Muhammad Suhaili Sajiman berkata, kedua-dua pasangan yang berusia bawah 20 tahun itu ditahan kerana tinggal berdua-duaan di sebuah bilik hotel berkenaan.



Menurutnya, hasil pemeriksaan di bilik itu, mendapati kedua-duanya yang masih belum bekerja itu lengkap berpakaian dan terkejut sebaik sahaja pihaknya memperkenalkan diri sebagai penguat kuasa agama.

“Kami mengetuk pintu beberapa kali dan dibuka salah seorang daripadanya, namun mendapati mereka dalam keadaan mencurigakan kerana tinggal berdua atas alasan ingin menyelesaikan masalah peribadi,” katanya.





Muhammad Suhaili berkata, pasangan terbabit yang didapati melakukan kesalahan berkhalwat itu kemudiannya dibawa ke Balai Polis Sungai Besar untuk laporan tangkapan dan kemudiannya dibebaskan dengan penjamin setiap seorang.



“Keterangan pasangan itu diambil Isnin lalu di Pejabat Agama Islam Daerah (Paid) Sabak Bernam untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya sambil memberitahu kes disiasat di bawah Seksyen 29 Enekmen Jenayah Syariah Selangor No.9 Tahun 1995 kerana khalwat yang memperuntukkan denda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.



Dalam pada itu, katanya, operasi zon yang dikendalikan Paid Sabak Bernam dengan kerjasama Paid Kuala Selangor memberi tumpuan di dua lokasi iaitu hotel bajet dan premis urut yang dikatakan menjadi tumpuan pasangan bukan muhrim terutama pada cuti hujung minggu.



“Kita menumpukan usaha mencegah maksiat pasangan bukan muhrim di dua lokasi ini bagi memastikan gejala merosakkan akhlak itu dapat dibanteras habis-habisan,” katanya.-sinar harian



0 comments:

Post a Comment