‘JODOH ITU RAHSIA ALLAH’ – JOHAN AS’ARI DEDAH PUNCA PUTUS CINTA?

Rasanya ini kali keempat pelakon Johan As’ari ‘putus cinta’ dengan selebriti yang ada di negara kita ini. Antaranya dengan Izreen Azmida, Nabila Huda, kemudian dengan penyanyi yang menempa nama di Beijing, Shila Amzah dan yang terbaru dengan aktres yang sudah ‘berubah’, Lana Nordin.



Kesemua ‘kisah cintanya’ diatas memang hot dan menjadi topik hangat di mana-mana media hiburan. Seolah-olah Johan sudah bersedia untuk menamatkan zaman bujang. Namun ia hanya sekerat jalan. Tak sampai beberapa bulan, pasti ada pengumuman sudah berpisah atau ayat biasa dari Johan, hanya kawan.




Sebagaimana yang terbaru, Johan bukan main lagi menghebahkan percintaannya dengan Lana Nordin. Siap beritahu bakal melamar aktres tersebut dan sebagainya. Hampir sebulan kisah cinta mereka dijaja dan dicanang. Akhirnya Johan mengambil keputusan untuk berpisah atas alasan tidak mendapat restu daripada ibu dan bapanya.



Mungkin berita mengenai perpisahan tersebut tidak begitu mengejutkan ramai pihak tetapi keputusan yang diambil oleh Johan untuk melepaskan Lana selepas sebulan menjalinkan hubungan sedikit sebanyak mencalarkan kredibilitinya sebagai seorang pelakon. Banyak cakap-cakap nakal mula kedengaran mengenai Johan yang dianggap seperti artis yang ‘lapar’ publisiti dan sering menggunakan kisah cintanya sebagai tiket untuk meraih perhatian orang ramai. Dia juga dilihat seperti bersifat keanak-anakan dan tidak serius dalam menilai soal cinta.



Apa pula kata Johan As’ari mengenai tuduhan yang dilemparkan kepadanya?



Jom ikuti penjelasan Johan menerusi mesej yang dikirim melalui aplikasi WhatsApp kepada wartawan Kosmo! dibawah:



“Sebagai seorang pelakon yang berkecimpung dalam industri ini, saya mempunyai ramai kawan. Ada yang saya anggap sebagai teman biasa dan ada juga yang rapat dengan saya. Kenalan yang rapat bukan bermakna hubungan kami lebih daripada itu. Dalam perjalanan yang masih jauh, sudah tentu saya akan bertembung dengan perkara-perkara sebegini. Ia seperti menjadi pengajaran kepada saya dalam menempuhi masa akan datang. Jodoh dan pertemuan di tangan Allah, sudah tentu saya tidak dapat lari daripada takdir ini,” jelasnya.



Ketika ditanya mengenai apakah status sebenar wanita itu dihatinya, Johan menyatakan, dia hanya menganggap Lana sebagai kawan biasa.



“Selama ini, saya tidak meletakkan sebarang taraf ketika berkawan dengan Lana. Apa yang pasti sekarang, status saya dan Lana hanya kawan biasa sahaja. Apa yang saya boleh katakan juga, soal masa depan dan hubungan cinta, saya serahkan semuanya pada takdir Allah. Semua keputusan terletak ditangan-Nya,” jelas Johan lagi.



Dalam pada itu, Johan memberitahu, dia langsung tidak berniat untuk menjaja kisah hubungan cintanya untuk meraih publisiti. Malah, dia menolak dakwaan menyatakan dirinya merupakan artis yang dahagakan perhatian sehingga sering melakukan tindakan di luar jangkaan.



“Percayalah, walaupun saya memerlukan publisiti, saya tidak bermaksud mempergunakan hubungan cinta saya untuk tujuan dikenali orang ramai. Insya-Allah selepas ini, saya tidak akan terburu-buru dalam mencari jodoh. Namun, kita masih tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa akan datang. Sebagai manusia, kita hanya merancang tetapi Allah sahaja yang layak untuk menentukan,” ujarnya lagi.



Menerusi laporan yang sama, wartawan berkenaan turut mempertikaikan kenyataan yang dikeluarkan oleh Johan. Jelasnya, Johan barangkali lupa, sewaktu pertama kali tersebar berita tentang hubungan tiga harinya bersama Lana, dia memberitahu media bahawa telah melamar Lana dan merancang untuk menikahi wanita itu pada tahun depan. Justeru, apabila dia menyatakan tidak meletakkan sebarang taraf atau menganggap Lana sebagai kekasih sepanjang tempoh mereka intim selama sebulan lalu, ia memberi gambaran betapa mudah benar Johan membuat keputusan dan berubah hati.



Sekadar rekod, sebelum ini, Johan juga pernah dikaitkan dengan beberapa artis wanita lain termasuk Izreen Azmida, Nabila Huda dan Shila Amzah. Bagaimanapun, apabila hubungan mereka putus, Johan memberi alasan yang sama iaitu jodoh itu rahsia Allah.

0 comments:

Post a Comment