KOTA BHARU 17 Dis. - Seorang jururawat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas dua pertuduhan menggunakan wang palsu untuk membeli barangan elektrik iaitu sebuah telefon bimbit iPhone 5 dan sebuah iPad pada bulan lalu.
Tertuduh, Nor Aziarina Ismail, 30, memohon dibicarakan ketika dihadapan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Mengikut pertuduhan, wanita itu yang berasal dari Melor, di sini, didakwa membeli telefon bimbit iPhone 5 dari seorang remaja, Mohamad Nabil Aiman Abd. Wahid, 18, menggunakan 16 keping wang kertas palsu not RM100 berjumlah RM1,600 di hadapan sebuah stesen minyak di Melor pada pukul 11.30 malam, 18 November lalu.
Sementara itu, bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa membeli sebuah iPad dari seorang remaja, Abdul Mu'iz Ahmad, 19, menggunakan 10 keping wang palsu not RM100 bernilai RM1,000 di hadapan sebuah restoran makanan segera di Wakaf Che Yeh di sini, pada pukul 9 malam, 22 November lalu.
Bagi kedua-dua pertuduhan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda jika disabitkan kesalahan. - UTUSAN ONLINE
0 comments:
Post a Comment